Monday, 26 September 2011

PERTAHANAN NEGARA TANGGUNGJAWAB BERSAMA

16 September setiap tahun kita sebagai rakyat Malaysia dan juga Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menyambut Hari Angkatan Tentera Malaysia di mana pada tahun ini adalah ulangtahun yang ke 78. Sejak penubuhannya sebagai sebuah Angkatan Bersenjata pada tahun 1933, ATM telah menjadikan sebuah angkatan yang versatile di abad ini. Keupayaan pertahanan di ketiga-tiga cabang perkhidmatan telah diperkasakan berlandaskan kepada Dasar Pertahanan Negara (DPN), strategi ketenteraan yang dirancang serta konsep operasi dan peperangan masa hadapan.
             Tugas dan tanggungjawab yang diletak di bahu kita adalah amanah besar kepada negara dan rakyat. Kita tidak harus memandang ringan dengan amanah ini dan leka dengan suasana aman yang kita nikmati ketika ini. Kini putaran konsep pertahanan yang diamalkan oleh ATM hampir mencapai kemuncaknya. Kemerdekaan negara yang dinikmati telah menyaksikan betapa besar pengorbanan angkatan tentera kita. Namun masih banyak lagi yang perlu dilakukan.
            Keupayaan serta asset sumber manusia juga perlu selaras dengan pembangunan teknologi pertahanan itu sendiri. Sebagai sebuah organisasi profesional, Tentera Darat perlu sentiasa meningkatkan kepakarannya agar berupaya bergerak selaras dengan perubahan yang berlaku di sekeliling kita. Perkembangan teknologi yang berlaku perlu diaplikasikan dengan sebaik mungkin. Demi memikul tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat, setiap warga TD perlu mempersiapkan diri untuk menggalas lebaran ini agar dapat berperanan dengan lebih berkesan serta memperlihatkan kemampuan kita sebagai sebuah ketumbukan yang mampu melaksanakan pelbagai bentuk misi.
            Justeru itu tanyalah pada diri kita sendiri, sebagai benteng utama pertahanan negara, adakah kita berupaya mempertahankan kepentingan-kepentingan strategik dan keselamatan negara berdasarkan kepada prinsip-prinsip keupayaan untuk berdikari.
            Walaupun apa jua perubahan teknologi yang dialami dari segi persenjataan mahupun peralatan, yang tidak boleh berubah adalah semangat dan nilai-nilai murni sebagai anggota tentera. Tidak ada perkara mustahil yang tidak dapat dilakukan dengan disiplin serta semangat setia kawan yang tinggi. Keperibadian seseorang anggota tentera perlu dilaksanakan dan dipertingkatkan  dengan nilai-nilai murni supaya masyarakat dapat menilai sendiri  kekuatan kita yang mana boleh menjadi sebuah angkatan yang mampu mempertahankan kedaulatan negara dari apa jua bentuk ancaman.

No comments: