Sejak kebelakangan ini ramai di kalangan anggota tentera samada pegawai mahupun lain-lain pangkat memohon untuk berhenti awal sebelum sampai tempoh persaraan. Bagi anggota lain-lain pangkat, mereka boleh menamatkan perkhidmatan 21 tahun untuk melayakkan mereka menerima pencen. Manakala di kalangan pegawai pula, sebahagian mereka memilih untuk berhenti lebih awal apabila sampainya tempoh persaraan pilihan. Mereka ini sebenarnya boleh meneruskan perkhidmatan dengan angkatan tentera sehinggalah ke peringkat persaraan wajib.
Kita perlu merenung seketika dan mencari apakah punca sebenarnya di sebalik fenomena ini berlaku. Melihat kepada keadaan yang berlaku ini, ramai anggota tentera mengambil tindakan berhenti awal kerana tidak adanya “keyakinan” untuk meneruskan khidmat sehingga ke peringkat persaraan wajib. Keyakinan yang dimaksudkan adalah mengenai jaminan masa depan yang dapat ‘melindungi’ mereka setelah menabur bukti dan berkorban mempertahankan Negara sehingga ke usia persaraan wajib. Apakah jaminan masa depan yang menyakinkan mereka ini selepas bersara di ketika usia yang lebih daripada setengah abad.
Sememangnya kerajaan menyediakan skim pencen kepada kakitangannya dan anggota tentera turut menikmatinya apabila mereka berkhidmat sehingga melayakkan menerima skim itu. Walaubagaimanapun, skim pencen yang disediakan itu masih tidak dapat menarik sebilangan besar anggota tentera untuk terus berkhidmat sehingga ke tempoh persaraan wajib. Mereka sanggup berhenti awal apabila dibenarkan berbuat demikian di usia yang masih muda dan akan mencuba nasib merebut segala peluang yang ada di sektor-sektor lain untuk mengejar tawaran gaji yang lebih tinggi tanpa melibatkan banyak tekanan dan disiplin sepertimana di dunia ketenteraan.
Kita lihat bahawa faktor kewangan merupakan pendorong utama anggota tentera mengambil keputusan meninggalkan perkhidmatan lebih awal. Ini adalah realiti dan hakikat kehidupan masa kini. Pemberian ganjaran dan pencen separuh daripada gaji akhir yang diterima tidak dapat menarik mereka untuk terus berkhidmat hingga ke tempoh akhir perkhidmatan. Mereka beranggapan adakah terjamin masa depan dengan kadar pencen yang diberi itu apatah lagi tanggungan keluarga yang semakin membesar ketika anak-anak meningkat dewasa.
Justeru itu, sudah tiba masanya pihak-pihak tertentu mengkaji semula pemberian ganjaran dan skim pencen kepada anggota-anggota tentera sekurang-kurangnya membolehkan mereka menerima TIGA SUKU (75 peratus) daripada gaji terakhir dengan syarat-syarat perkihdmatan yang membolehkan mereka berkhidmatan sehingga ke usia maksima. Untuk mempunyai anggota tentera yang dedikasi, komited dan semangat yang tinggi, organisasi ketenteraan mestilah memperbaiki lagi syarat-syarat perkhidmatan yang menyakinkan untuk membolehkan anggota merasa lebih terjamin bukan sahaja semasa di dalam perkhidmatan malahan juga selepas mereka bersara.
Langkah kementerian baru-baru ini yang mengumumkan anggota tentera LLP diwajibkan berkhidmat sehingga 21 tahun mulai tahun depan untuk melayakkan mereka menerima pencen merupakan satu langkah yang dihargai dan tepat pada masanya. Langkah ini juga dilihat sebagai perintis ke arah menyediakan syarat-syarat perkhidmatan yang lebih baik, terjamin dan menyakinkan kepada semua peringkat anggota tentera yang sedia berkorban sebagai benteng pertahanan Negara.
No comments:
Post a Comment