Monday, 26 September 2011

Cabaran TD Dalam Dunia Yang Serba Tidak Menentu


 Pada tahun 2005, kita dikejutkan dengan kejadian banjir besar yang dialami di bahagian utara dan pantai timur negara bagaikan satu igauan kepada semua kerana kita tidak menduga akan menghadapi bencana yang sedemikian rupa. Apatah lagi bencana alam yang dahsyat seperti gempa bumi di utara Pakistan yang mengejut seluruh pelusuk dunia. Keperihatinan kerajaan dengan menghantar tim perubatan (MASMEDTIM) ke kawasan tersebut amat disanjung. Kesan yang ditinggalkan amat memilukan kepada sesiapa yang melihat. Semoga malapetaka seperti ini tidak berulang lagi dan jika ditakdirkan ia berlaku lagi, semoga kita lebih bersedia menghadapinya.

Jelas sekali kita akan berhadapan dengan keadaan yang tidak menentu dan penuh dengan cabaran dimasa akan datang.  Semua ini akan menjadikan tugas kita sebagai teras utama benteng pertahanan negara semakin sukar. Demi memikul tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat, setiap warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya dan Tentera Darat (TD) khasnya, perlu mempersiapkan diri untuk menggalas cabaran tersebut agar dapat berperanan dengan lebih berkesan. Keupayaan TD sebagai sebuah angkatan Darat yang kredibel, mudah diaturgerak (deployable), serba boleh (versatile) dan berdaya musnah perlu dipertingkatkan. Ini akan memperlihatkan kemampuan TD sebagai sebuah ketumbukan yang decisive dan mampu melaksanakan pelbagai bentuk misi dalam pelbagai dimensi.

Tidak keterlaluan dinyatakan juga bahawa senario sekarang juga memperlihatkan impak pembangunan keselamatan dalam semua aspek, baik dari segi sumber manusia mahupun peralatan. Kejadian kehilangan senjata serta peluru yang diketahui umum secara tidak langsung boleh menjejaskan kredibiliti kita sebagai sebuah angkatan yang dipertanggungjawabkan menjadi benteng pertahanan negara. Dari aspek sosial pula, penglibatan anggota dalam aktiviti-aktiviti agama songsang, ekstrimis dan kongsi gelap akan turut memberi imej yang negatif kepada TD. Ini ditambahkan lagi dengan peningkatan ekspektasi dikalangan anggota dalam pelbagai aspek selaras dengan perkembangan semasa dan gaya hidup yang penuh dengan kemudahan-kemudahan tertentu. Secara psikologi perkembangan semasa dunia yang serba moden dan sofistikated mempengaruhi tahap kematangan, kepekaan dan sensitiviti anggota terhadap segala perubahan, dan menyebabkan anggota menjadi lebih ‘demanding’ dan ‘tidak berpuas hati’ dalam aspek tertentu.

Oleh demikian aspek ini perlu diberi perhatian yang sewajarnya dan semua peringkat pemerintah perlu lebih peka dan sensitif dan mengambil tindakan secara berterusan bagi menangani masalah ini. Tugas kita sebagai teras utama benteng pertahanan negara tidak boleh dipandang ringan. Demi memikul tanggungjawab yang  diamanahkan oleh rakyat, setiap warga TD perlu mempersiapkan diri untuk menggalas cabaran tersebut agar dapat berperanan dengan lebih berkesan serta mempertahankan imej TD sebagai teras utama kedaulatan negara.       

Disiplin,kepimpinan, profesionalisme, latihan dan semangat kesetiakawan adalah antara perkara-perkara asas yang perlu dipertingkatkan bagi membolehkan TD menjadi satu pasukan yang efisyen dan berkesan. Sebagai sebuah organisasi professional, TD perlu sentiasa meningkatkan kepakarannya dalam bidang ini agar berupaya bergerak selaras dengan perubahan yang berlaku di sekeliling.

Kemajuan atau perkembangan teknologi yang berlaku perlu diaplikasikan dengan sebaik mungkin. Sememangnya perjuangan mempertahankan kemerdekaan bukanlah sesuatu yang mudah. Oleh itu, setiap warga TD perlu berusaha dengan lebih gigih lagi dan mempertingkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang ancaman dan cabaran yang mendatang demi melindungi dan mempertahankan kedaulatan negara. Marilah kita sama-sama merealisasikan amanah dan tanggungjawab kita kepada rakyat  dan sentiasa bersedia sebagai sebuah angkatan yang efisyen dan efektif, mempertahankan kedaulatan negara dan bangsa tercinta.

No comments: