CELORENG pada pakaian Anggota Tentera Darat sering dikaitkan dengan hutan belantara. Ia sudah cukup menggambarkan tugas mereka dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara meskipun sehingga ke titisan darah terakhir.
Namun, pasukan keselamatan itu tidak sekali-kali meminggirkan tanggungjawab sosialnya dengan memberi bantuan kepada rakyat tanpa perlu menghunus benet atau laras M-16.
Di Semenanjung Malaysia, masyarakat Orang Asli antara komuniti yang turut tersenarai sebagai insan yang perlu dibantu pasukan itu menerusi Projek Jiwa Murni, sekali gus menterjemahkan konsep masyarakat penyayang.
Setiap kali ‘turun padang’ membantu masyarakat, tugas pasukan keselamatan itu bukan sekadar membina semula jambatan runtuh atau sekolah serta surau buruk, malah objektifnya lebih luas daripada itu.
Sebelum ini misalnya, tanggungjawab membina kemudahan infrastruktur khususnya jalan raya dipikul sepenuhnya oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) sehingga kerajaan tidak dapat lari daripada beban dan tanggungjawab membiayai kos pembinaannya yang tinggi, terutamanya bagi menaik taraf jalan raya di kawasan luar bandar.
Namun kini Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut membantu apabila peranannya diperluaskan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang tampil dengan pendekatan kreatif mengurangkan kos pembinaan jalan raya dengan memanfaatkan kepakaran anggota pasukan keselamatan untuk tujuan itu.
Satu daripada pendekatan yang diperkenalkan itu ialah menggunakan khidmat sukarela ATM menerusi Projek Jiwa Murni. Menerusi projek itu, kerajaan dapat menjimatkan kos pembinaan jalan raya berbanding penggunaan pendekatan lama sebelum ini.
Misalnya, projek menaik taraf jalan tanah merah Ba’kelalan – Lawas di utara Sarawak yang dibina dapat dikurangkan daripada RM 400 juta kepada RM 60 juta sahaja.
Pendek kata, Projek Jiwa Murni yang dilaksanakan ATM adalah satu formula terbaik boleh digunakan untuk menyediakan kemudahan asas itu kepada penduduk pendalaman Sarawak atau Sabah yang tinggal di penempatan bertaburan.
Di Belaga menerusi projek sama, Rejimen Askar Jurutera Diraja akan membina sebuah jambatan baru merentangi Sungai Linau berhampiran Lusong Laku di Belaga, Bahagian Kapit bagi menggantikan jambatan lama yang musnah akibat banjir.
Pihak ATM telah membantu kerajaan melalui projek tersebut dan ini akan mengurangkan kos pembinaan jalan berkenaan. Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara memperuntukkan RM2.7 juta untuk tujuan tersebut.
Perhubungan antara Lusong Laku dengan dunia luar terputus apabila jambatan kayu di kawasan berkenaan musnah kibat banjir. Lusong Laku yang terletak kira-kira sehari perjalanan melalui jalan balak dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda dari Bintulu dan mempunyai penduduk kira-kira 3, 500 orang yang mendiami empat perkampungan suku kaum Penan.
Pembinaan jambatan tersebut diperlukan segera dan disarankan pembinaan jambatan besi jenis pasang siap kerana ia boleh disiapkan dalam masa dua hingga tiga bulan sahaja. Ia lebih sesuai dan tahan lebih lama walaupun dilanda banjir. Pembinaan jambatan sepanjang kira-kira 52 meter itu membuktikan komiten kerajaan menjaga kebajikan penduduk luar Bandar sejajar konsep 1Malaysia ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.
Selain itu, ATM juga akan dipertanggungjawabkan untuk menaik taraf jalan raya Belaga-Bakun sejauh 35 kilometer untuk kemudahan kira-kira 15, 000 penduduk pekan itu. Kerja pembinaan jalan raya menggunakan konsep yang sama seperti pembinaan jalan raya Ba’kelalan. Sejumlah RM 62 juta diperuntukkan Kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf jalan tanah merah untuk keperluan penduduk di kawasan Parlimen itu.
Projek Jiwa Murni yang dijayakan ATM perlu diperluaskan untuk menjayakan projek lain seperti penyediaan bekalan air bersih dan kemudahan asas lain yang diperlukan penduduk luar bandar. Menerusi pendekatan kreatif, kerajaan dapat menjimatkan kos perbelanjaan menyediakan kemudahan asas untuk penduduk yang menetap di luar bandar samada di Sarawak atau Sabah.
No comments:
Post a Comment