Monday, 26 September 2011

KEUPAYAAN TENTERA DARAT SATU KEBANGGAAN

Tentera Darat (TD) merupakan tulang belakang pertahanan negara. Oleh yang demikian TD sedang mengambil beberapa langkah untuk menjadikannya sebuah organisasi yang kredibel, berkebolehan dan berdaya musnah.  Ini amat diperlukan bagi membolehkan TD melaksanakan pelbagai bentuk misi dalam perlbagai bentuk dimensi. Keadaan dunia yang tidak menentu, memerlukan TD sentiasa melatih anggotanya bagi mempertingkat tahap professionalisme yang tinggi mengikut  struktur yang sedia ada. Paling utama adalah keupayaan TD dalam mempertahankan keselamatan negara seiring dengan peranannya sebagai benteng pertahanan negara.
Adalah jelas bahawa setiap anggota perlu berlatih dan mempertingkatkan kemahiran bagi menghadapi sebarang kemungkinan  peperangan. Oleh yang demikian setiap anggota TD harus memperlengkapkan diri dan bersedia untuk mempertahankan tanahair dari sebarang bentuk ancaman.
Dari aspek kelengkapan dan peralatan pula, perlu digunakan secara maksimum. Masih terdapat ruang yang boleh diperbaikki kerana teknologi pertahanan sentiasa berubah-rubah. Kelengkapan pertahanan serta tahap professionalisme  yang tinggi dikalangan anggota akan memperlihatkan kepada semua masyarakat bahawa TD adalah sebuah organisasi yang mantap dan berkeupayaan.  Professionalisme adalah adalah satu tahap yang dituntut dan perlu ada pada setiap anggota TD. Professionalisme yang tinggi memerlukan satu asas yang utama iaitu nilai-nilai murni dalam kehidupan harian. Nilai-nilai murni perlu diamalkan oleh setiap anggota tentera dengan jujur, amanah dan ikhlas di dalam perlaksanaan tugas dan peranan yang dipertanggungjawabkan.
Melalui latihan yang sistematik dan berkesan, TD berupaya melahirkan generasi tentera yang professionalisme sejajar dengan bidang tugas dan kepakaran mereka dalam menjadikan TD sebuah organisasi yang disegani dan digeruni oleh masyarakat umum mahupun musuh. Sememangnya TD amat menekankan aspek ini kerana telah termaktub bahawa tugas utama tentera diwaktu aman adalah berlatih untuk berperang.
          Di dalam menghadapi era pembangunan dan juga cabaran-cabaran persekitaran yang bakal dihadapi, masih banyak lagi yang perlu dilakukan oleh setiap anggota TD. Perjuangan dan curahan bakti merupakan sesuatu yang berterusan. Sebagai anggota tentera, setiap anggota perlu beriltizam untuk membentuk peribadi dan akhlak yang baik serta mengamalkan budaya kerja yang berkualiti. Ini amatlah perlu untuk mengekalkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan TD untuk mempertahankan negara. Oleh yang demikian setiap anggota perlu memikul tanggungjawab diamanahkan iaitu mempertahankan kedaulatan negara.

STRATEGI LAUTAN BIRU GSPS TERKINI

Pada 5 April 2011, Perdana Menteri Malaysia telah melancarkan Strategi Lautan Biru (SLB) iaitu, ‘kurangkan, hapuskan, wujudkan dan menambah peluang‘ ketika melaksanakan tugas supaya pencapaian dan keberhasilan sektor pentadbiran awam terus meningkat.
Kerjasama antara PDRM dan ATM dalam Program Pemulihan Pemasyarakatan yang dilancarkan menerusi pemikiran ‘Strategi Lautan Biru’, agensi kerajaan dapat mencapai objektif-objektif di dalam NKRA dengan kos yang minimum. Pemikiran “Strategi Lautan Biru” melibatkan pemikiran di luar kebiasaan dengan mengaplikasikan cara-cara yang kreatif dan inovatif, tetapi dalam masa yang sama dengan kos yang minimum.
Pusat Pemulihan Pemasyarakatan di Kem Mahkota, melibatkan sekumpulan penempatan banduan di dalam kawasan kem tentera dengan kawalan keselamatan yang minimum. Menerusi program pemulihan pemasyarakatan itu, kerajaan telah dapat menjimatkan kos apabila ia tidak perlu membina penjara baru yang setiap satunya bernilai di antara RM50 juta hingga RM60 juta.
Kerajaan hanya membelanjakan RM4.5 juta untuk membina satu pusat pemulihan pemasyarakatan. Program ini juga baik kerana ia mengasingkan banduan yang melakukan kesalahan ringan daripada pesalah-pesalah yang melakukan kesalahan berat dan mengelak mereka daripada dipengaruhi.  Program pemulihan pemasyarakatan telah dilaksanakan di Kem Desa Pahlawan, Kelantan, Kem Tok Jalai, Alor Setar, Kedah, Kem Syed Sirajuddin, Gemas Negeri Sembilan, Kem Mahkota, Kluang, Johor dan Kem Batu 10, Kuantan, Pahang.       
Kerjasama ATM dan PDRM turut meliputi penggunaan kemudahan ATM bagi tujuan latihan rekrut-rekrut polis dan rondaan bersama di antara kedua-dua agensi keselamatan itu di kawasan panas. Kerjasama ATM-PDRM itu juga membabitkan pengambilan bekas tentera untuk menjadi anggota polis bagi membekalkan anggota polis yang berpengalaman dalam jangka masa yang pendek.

PERTAHANAN NEGARA TANGGUNGJAWAB BERSAMA

16 September setiap tahun kita sebagai rakyat Malaysia dan juga Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menyambut Hari Angkatan Tentera Malaysia di mana pada tahun ini adalah ulangtahun yang ke 78. Sejak penubuhannya sebagai sebuah Angkatan Bersenjata pada tahun 1933, ATM telah menjadikan sebuah angkatan yang versatile di abad ini. Keupayaan pertahanan di ketiga-tiga cabang perkhidmatan telah diperkasakan berlandaskan kepada Dasar Pertahanan Negara (DPN), strategi ketenteraan yang dirancang serta konsep operasi dan peperangan masa hadapan.
             Tugas dan tanggungjawab yang diletak di bahu kita adalah amanah besar kepada negara dan rakyat. Kita tidak harus memandang ringan dengan amanah ini dan leka dengan suasana aman yang kita nikmati ketika ini. Kini putaran konsep pertahanan yang diamalkan oleh ATM hampir mencapai kemuncaknya. Kemerdekaan negara yang dinikmati telah menyaksikan betapa besar pengorbanan angkatan tentera kita. Namun masih banyak lagi yang perlu dilakukan.
            Keupayaan serta asset sumber manusia juga perlu selaras dengan pembangunan teknologi pertahanan itu sendiri. Sebagai sebuah organisasi profesional, Tentera Darat perlu sentiasa meningkatkan kepakarannya agar berupaya bergerak selaras dengan perubahan yang berlaku di sekeliling kita. Perkembangan teknologi yang berlaku perlu diaplikasikan dengan sebaik mungkin. Demi memikul tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat, setiap warga TD perlu mempersiapkan diri untuk menggalas lebaran ini agar dapat berperanan dengan lebih berkesan serta memperlihatkan kemampuan kita sebagai sebuah ketumbukan yang mampu melaksanakan pelbagai bentuk misi.
            Justeru itu tanyalah pada diri kita sendiri, sebagai benteng utama pertahanan negara, adakah kita berupaya mempertahankan kepentingan-kepentingan strategik dan keselamatan negara berdasarkan kepada prinsip-prinsip keupayaan untuk berdikari.
            Walaupun apa jua perubahan teknologi yang dialami dari segi persenjataan mahupun peralatan, yang tidak boleh berubah adalah semangat dan nilai-nilai murni sebagai anggota tentera. Tidak ada perkara mustahil yang tidak dapat dilakukan dengan disiplin serta semangat setia kawan yang tinggi. Keperibadian seseorang anggota tentera perlu dilaksanakan dan dipertingkatkan  dengan nilai-nilai murni supaya masyarakat dapat menilai sendiri  kekuatan kita yang mana boleh menjadi sebuah angkatan yang mampu mempertahankan kedaulatan negara dari apa jua bentuk ancaman.

JAMINAN MASA DEPAN DALAM PROFESION KETENTERAAN

Sejak kebelakangan ini ramai di kalangan anggota tentera samada pegawai mahupun lain-lain pangkat memohon untuk berhenti awal sebelum sampai tempoh persaraan. Bagi anggota lain-lain pangkat, mereka boleh menamatkan perkhidmatan 21 tahun untuk melayakkan mereka menerima pencen. Manakala di kalangan pegawai pula, sebahagian mereka memilih untuk berhenti lebih awal apabila sampainya tempoh persaraan pilihan. Mereka ini sebenarnya boleh meneruskan perkhidmatan dengan angkatan tentera sehinggalah ke peringkat persaraan wajib.
          Kita perlu merenung seketika dan mencari apakah punca sebenarnya di sebalik fenomena ini berlaku. Melihat kepada keadaan yang berlaku ini, ramai anggota tentera mengambil tindakan berhenti awal kerana tidak adanya “keyakinan” untuk meneruskan khidmat sehingga ke peringkat persaraan wajib. Keyakinan yang dimaksudkan adalah mengenai jaminan masa depan yang dapat ‘melindungi’ mereka setelah menabur bukti dan berkorban mempertahankan Negara sehingga ke usia persaraan wajib. Apakah jaminan masa depan yang menyakinkan mereka ini selepas bersara di ketika usia yang lebih daripada setengah abad.
          Sememangnya kerajaan menyediakan skim pencen kepada kakitangannya dan anggota tentera turut menikmatinya apabila mereka berkhidmat sehingga melayakkan menerima skim itu. Walaubagaimanapun, skim pencen yang disediakan itu masih tidak dapat menarik sebilangan besar anggota tentera untuk terus berkhidmat sehingga ke tempoh persaraan wajib. Mereka sanggup berhenti awal apabila dibenarkan berbuat demikian di usia yang masih muda dan akan mencuba nasib merebut segala peluang yang ada di sektor-sektor lain untuk mengejar tawaran gaji yang lebih tinggi tanpa melibatkan banyak tekanan dan disiplin sepertimana di dunia ketenteraan.
          Kita lihat bahawa faktor kewangan merupakan pendorong utama anggota tentera mengambil keputusan meninggalkan perkhidmatan lebih awal. Ini adalah realiti dan hakikat kehidupan masa kini. Pemberian ganjaran dan pencen separuh daripada gaji akhir yang diterima tidak dapat menarik mereka untuk terus berkhidmat hingga ke tempoh akhir perkhidmatan. Mereka beranggapan adakah terjamin masa depan dengan kadar pencen yang diberi itu apatah lagi tanggungan keluarga yang semakin membesar ketika anak-anak meningkat dewasa.
          Justeru itu, sudah tiba masanya pihak-pihak tertentu mengkaji semula pemberian ganjaran dan skim pencen kepada anggota-anggota tentera sekurang-kurangnya membolehkan mereka menerima TIGA SUKU (75 peratus) daripada gaji terakhir dengan syarat-syarat perkihdmatan yang membolehkan mereka berkhidmatan sehingga ke usia maksima. Untuk mempunyai anggota tentera yang dedikasi, komited dan semangat yang tinggi, organisasi ketenteraan mestilah memperbaiki lagi syarat-syarat perkhidmatan yang menyakinkan untuk membolehkan anggota merasa lebih terjamin bukan sahaja semasa di dalam perkhidmatan malahan juga selepas mereka bersara.
          Langkah kementerian baru-baru ini yang mengumumkan anggota tentera LLP diwajibkan berkhidmat sehingga 21 tahun mulai tahun depan untuk melayakkan mereka menerima pencen merupakan satu langkah yang dihargai dan tepat pada masanya. Langkah ini juga dilihat sebagai perintis ke arah menyediakan syarat-syarat perkhidmatan yang lebih baik, terjamin dan menyakinkan kepada semua peringkat anggota tentera yang sedia berkorban sebagai benteng pertahanan Negara.

  

Pentingnya Ketenteraan Di Dalam Sesebuah Negara




Akujebatxxx.

Sebagaimana yang kita tahu, ketenteraan di dalam sesebuah negara adalah amat penting.  Ketenteraan diletakkan sebagai tulang belakang sesebuah negara.  Pentingnya ketenteraan di dalam sesebuah negara boleh dilihat dari kurun ke-7 masihi lagi, apabila Islam muncul pada tahun 622 di Semenanjung Arab apabila Nabi Muhammad s.a.w. mendapat wahyu daripada Allah s.w.t. dan ketika itu tentera menjadi nadi utama sesebuah negara. 


 Berbagai  perperangan telah berlaku ketika itu bagi membentuk kerajaan masing-masing.  Masihkah kita ingat sejarah Perang Dunia Kedua iaitu satu konfik sedunia yang memakan masa hampir selama enam tahun dan dianggarkan mengorbankan sejumlah 61 juta orang (tentera dan orang awam).  Cuba kita bayangkan sekiranya sesebuah negara tidak mempunyai ketenteraan dan kita berada diketika itu, bertapa sensaranya di mana nyawa kita sentiasa diambang maut, hidup melarat ke sana-sini, keluarga entah ke mana dan berbagai kesensaraan yang kita tempuhi, ketika itu mati adalah lebih baik.  Dimasa ini, peperangan masih juga berlaku dimana negara barat masing-masing mahu menunjukan kekuatan dan keangkuhan bagi melepaskan dendam mereka. 


Walaupun ketika ini rantau Asia Tenggara kini tampak aman daripada sebarang ancaman berbentuk tradisional, namun beberapa isu dalaman serta luaran dilihat mampu mencetuskan konflik. Oleh yang demikian, kita tidak boleh sekali-kali leka dibuai oleh keamanan yang dikecapi pada hari ini. Dimasa yang sama terdapat juga aktiviti-aktiviti berbentuk jenayah seperti aktiviti lintas sempadan, ketenteraman awam, keganasan, akibat pasca bencana alam serta gejala-gejala sosial termasuk politik mampu menggugat kestabilan negara serta mendedahkannya kepada campurtangan asing.

 Oleh itu, melalui Arahan-Arahan Majilis Keselamatan Negara Angkatan Tentera Malaysia merupakan agensi utama dalam semua tindakan berkaitan.  Ini adalah demi kepentingan agama, bangsa dan negara, selain terus mempergiatkan peranan sekunder agar Angkatan Tentera Malaysia tetap peka terhadap situasi semasa serta dipandang relevan dari kacamata masyarakat khususnya.  

Di sini kita dapat melihat bertapa pentingnya ketenteraan di dalam sesebuah negara. Kita juga tahu ketenteraan adalah sebagai  tulang belakang sesebuah negara yang kita perlu hormati dan sanjungi tampa ketenteraan tumbanglah negara itu.  Justeru itu, marilah kita sama-sama berganding bahu demi kepentingan agama. 


Memilih kerjaya sebagai anggota tentera bukanlah satu pilihan terakhir lagi, kini kerjaya dianggap pilihan utama di kalangan rakyat Malaysia. Ini terbukti dengan sambutan menggalakkan daripada program pengambilan anggota tentera di seluruh negara. Banyak pemohon jika tidak berjaya dalam usaha pertama tidak akan teragak-agak untuk mencuba buat kali kedua dan ketiga di tempat lain. Bahkan ramai bekas tentera di kalangan ibu bapa kini menggalakkan anak-anak mereka untuk menyertai angkatan tentera dan yakin kerjaya itu menawarkan masa depan yang lebih baik.

Sekian, terima kasih…